Saturday, March 05, 2011

Cinta: Sains dan Tanda-tanda

Bila kamu tertarik pada seseorang, kamu mula menunjukkan tanda-tanda yang kamu menyukainya. Ini bermakna terdapat sesuatu pada dirinya yang berjaya menarik perhatian kamu, seperti lirikan matanya atau senyumannya yang menggoda. Kamu juga mungkin menyukai seseorang yang lebih tua atau muda berbanding kamu. Tidak mengapa. Semua orang melalui perasaan menyukai seseorang dan disukai semula.


Jatuh Cinta Sebenarnya Tindak Balas Kimia

Tergila-gilakan seseorang biasanya berhubung kait dengan cinta romantik. Inilah jenis cinta yang membuatkan kamu menulis puisi cinta dan melakukan benda-benda bodoh seperti berjaga sepanjang malam mendengar lagu-lagu cinta. Perasaan dan emosi ketika ini sangatlah nikmat sehinggakan kamu merasakan seperti “jatuh cinta”.

Apabila kamu mula “jatuh cinta”, kamu biasanya mula tergila-gilakan si dia. Masa inilah, kamu mungkin berasa yang kamu boleh lakukan apa saja untuk si dia. Kamu mahu perasaan ini kekal selamanya dan kamu memang percaya yang ia akan kekal.

Perasaan diawang-awangan yang kamu alami ini boleh dijelaskan dengan bahan kimia yang dibebaskan oleh otak. Oh, mungkin bunyinya tak begitu romantik tapi yang sebenarnya otak kamulah yang menjadi pusat perasaan dan emosi kamu, bukannya hati. Otak tu nampak macam tak berapa menarik. Yelah, rupanya pun macam kobis bunga kering berwarna kelabu yang terapung-apung dalam kepala kamu. Cuba fikir. Walaupun ia tak secantik hati merah yang berdegup, otak kamu sebenarnya menghantar signal ke badan kamu membuatkan kamu merasa perasaan teruja dan pahit manis dilambung cinta.

Bahan kimia dalam otak boleh menerangkan perlakuan kita sebaik sahaja kita jatuh cinta. Bahan kimia ini bergerak ke bahagian-bahagian otak yang berkait dengan emosi dan memori kita:

* Dopamin kata saya gilakan kamu Dalam tempoh beberapa bulan pertama kamu tertarik pada seseorang, satu bahagian otak kamu membebaskan bahan kimia ini. Sejumlah kecil bahan kimia ini akan memberikan kamu perasaan di awang-awangan ketika dilamun cinta. Ia mungkin boleh menyebabkan kamu berjaga sepanjang malam memikirkan perkara-perkara romantik. Dengan dopamin, kamu pun mula rasa tak berselera. Kamu ponteng makan, rasa lapar tapi kamu tetap gembira dan sedikit gila walaupun perut kosong. Dopamin juga membuatkan kamu rasa bertenaga, dan boleh buat apa saja. Ia memang satu bahan kimia yang menakjubkan. Ia membuktikan perkataan seperti “asyik bercinta” memang wujud.


* Serotonin kata saya terlalu menggilai kamu Tahap rendah bahan kimia ini dalam otak merupakan sebab kenapa kamu terlalu memikirkan seseorang itu apabila kamu bercinta. Tahap serotonin yang rendah boleh membuatkan kamu asyik terfikir mengenainya. Seperti mengekorinya ke perpustakaan tanpa pengetahuan, mungkin merupakan aktiviti harian kamu. Pada kamu, kamu berkelakukan macam biasa kerana tahap serotonin yang rendah yang menguasai tindakan kamu. Bila kamu beritahu rakan yang kamu asyik teringatkan dia 24 jam, sebenarnya itulah tahap rendah serotonin yang menguasai kamu.


* Oksitosin kata saya akan kekal dengan kamu Sekarang kamu mungkin dah pun berada dalam hubungan sebenar dan semakin cinta kamu berkembang, kamu mula berfikir yang kamu tak dapat nak bayangkan kehidupan tanpa si dia. Kamu semakin terikat dengannya. Ke mana saja dia pergi, kamu pun ada. Masa inilah bahan kimia oksitosin bertindak. Ia merupakan kimia yang dibebaskan oleh otak di mana tahap gila bayang kamu semakin berkurang dan kamu mula menjalin hubungan yang serius.


Tanda-tanda yang kamu dah mula gila bayang:


* Kamu mula teringat pada si dia lebih kerap daripada biasa. Seolah-olah gambaran wajahnya melekat pada minda kamu.

* Tidur kamu jadi tak lena. Dialah orang terakhir dalam fikiran kamu dan orang pertama yang menjelma dalam kotak fikiranmu, bila kamu bangun tidur.

* Selera makan kamu tiba-tiba berkurangan. Makanan kegemaran kamu pun jadi tak sedap.

* Kamu selalu teruja nak berjumpa dengannya. Bila fikir mengenainya saja dah cukup untuk buat kamu rasa gembira dan cukup bertenaga.

* Kamu mula mengekorinya, menyimpan jadual waktunya dan mula mendapatkan nombor telefon si dia… semua secara rahsia.

* Tiba-tiba saja kamu jadi pakar dalam puisi cinta dan lagu cinta. Kamu mula menyukai filem romantik walaupun selama ini filem sainslah satu-satunya fiksyen yang kamu tonton seumur hidup.


Adakah dia tertarik pada saya? Berikut beberapa tanda yang mungkin menandakan dia perasan kehadiran kamu:


* Dia memulakan perbualan. Seorang lelaki mungkin tunjukkan yang dia menyukai kamu dengan memulakan perbualan. Dia mungkin menunjukkan minat mendalam dengan bertanya macam mana hari kamu dan bertanya pendapat kamu mengenai sesuatu perkata.

* Dia mula meluangkan lebih masa dengan kamu. Dia mula mengajak kamu untuk minum kopi atau makan tengahari. Kamu akan tahu yang hubungan kamu mula berputik bila dia makin kerap mengajak kamu.

* Dia berkongsi rahsia dengan kamu. Ramai lelaki yang tak suka bercakap mengenai diri mereka. Jadi bila dia dah mula kongsi perasaanya, atau bawa kamu ke tempat-tempat sunyi yang biasa dia pergi seorang diri, ini mungkin bermakna yang dia sukakan kamu.

* Dia mula menjadi seorang ‘gentleman’ dengan membawa buku kamu dan menarik kerusi kamu. Ia mungkin bermula dengan benda-benda ringkas yang mudah. Sekiranya kamu memang tak menjangkakan benda-benda begini dan ia lebih kerap berlaku, kemungkinan besar si dia menyukai kamu.

* Kamu mula terserempak dengannya di tempat yang kamu tak sangkakan. Tiba-tiba je dia pun turut serta dalam kelas yoga kamu walaupun sebelum ni dia tak pernah menyukai yoga.

* Hmm yang peliknya dia mula mengelak untuk berjumpa kamu. Sesetengah lelaki memang pemalu. Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk mereka kelihatan seperti tak menyukai kamu tapi yang sebenarnya si dia tengah berdebar-debar. Lelaki pun kadangkala takutkan perasaan mereka. Jadi, janganlah kecewa bila ia terjadi. Ia mungkin akan ambil masa untuk si dia menyedari perasaannya terhadapmu.


Cinta pandang pertama. Wujud ke?

Cinta pandang pertama mungkin berlaku terhadap sesetengah orang. Ia mungkin tarikan serta-merta yang dirasai sebaik sahaja seseorang itu terlihatkan orang yang lain. Ia juga mungkin berlaku beberapa kali dalam hidup. Walau bagaimanapun, hanya beberapa tarikan serta-merta ini berkembang menjadi hubungan percintaan. Ada yang akan jatuh cinta apabila orang yang mereka temui itu kelihatan seperti selebriti yang mereka minati. Personaliti atau bakat seseorang juga boleh menjadi tarikan kali pertama mereka berjumpa. Namun begitu, kamu patut tahu yang mencintai seseorang itu tidak bermula pada pertama kalinya. Mungkin ia akan nampak begitu kerana tubuh dan otak kita bertindak balas terhadap perjumpaan pertama tersebut. Bahagian awal tarikan mungkin merupakan kegilaan dan bukannya cinta. Apabila kamu semakin matang dan mula berada dalam perhubungan, kamu mula sedar yang cinta hadir dengan komunikasi yang bagus dan tanggungjawab yang besar. Jadi nikmatilah kehidupan dan cuba untuk belajar satu benda pada satu masa. Belajar dari ibu bapa ataupun rakan kamu. Pengalaman mereka boleh mengajar kamu pelbagai benda mengenai perhubungan.



Nak kawin ngan jejaka idaman kamu???

Mencari Jejaka Idaman

Masanya akan tiba bila kamu mula berfikir untuk memulakan keluarga. Tentulah kamu mahukan hanya yang terbaik apabila ia melibatkan perkahwinan. Untuk seorang wanita, berkahwin dengan lelaki budiman yang mencintai dan menghormatinya merupakan satu impian menjadi kenyataan. Sekiranya dia seorang yang mementingkan keluarga dan mampu menanggung keluarganya, pasti tiada apa lagi yang dimahukan oleh wanita itu. Tapi jangan lupa, tiada lelaki yang sempurna. Kadang-kadang seorang wanita itu perlu menerima yang seadanya. Mungkin akan mengambil masa untuk kamu bertemu dengan Jejaka Idaman, tetapi janganlah sekali-kali berputus asa, okay?



Apa yang diidamkan dalam Jejaka Idaman?

Ia mungkin mengambil masa untuk mengenali seseorang. Kita memang ada tanggapan pertama terhadap seseorang itu, tapi biasanya ia tak kekal lama. Ia memerlukan lebih daripada wajah yang kacak atau senyuman yang manis untuk melayakkan jejaka idamanmu menjadi suami seumur hidup. Berikut sedikit tip-tip untuk dijadikan panduan. Selamat mencari!
Kamu tahu yang dia sesuai untuk kamu apabila:

* Dia menghormati kamu. Dia bukan sahaja menghormati pandangan kamu malah sentiasa hormat terhadap perasaan kamu. Dia menunjukkannya dengan menjadi pendengar yang baik dan sentiasa mengambil berat perasaan kamu.

* Dia mempunyai pekerjaan yang bagus atau sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Kerja yang bagus dan tetap menunjukkan yang dia bertanggungjawab terhadap masa dan wang. Jika dia kekal lama dalam satu pekerjaan itu, ini menunjukkan yang dia seorang sabar dan tabah.

* Dia berkomunikasi dengan kamu. Komunikasi di sini bukan setakat berborak semasa makan atau minum kopi ya! Lelaki yang pandai berkomunikasi tahu bagaimana untuk menyampaikan perasaannya tanpa membuatkan dia seolah-olah berlagak atau berfikiran sempit. Dia juga mendengar pendapat kamu dan sentiasa menghargai cadangan. Yang seronoknya, dia juga boleh dibawa berbincang untuk memastikan perhubungan kamu berjaya.

* Dia pentingkan keluarga dan rakan kamu. Keluarga dan rakan-rakan seorang wanita itu merupakan sebahagian daripada hidupnya. Mereka merupakan sumber kekuatan dan sokongan untuk wanita tersebut. Lelaki yang tepat untuk kamu akan memahami semua ini dan tidak akan menghalang kamu daripada bersama-sama keluarga dan rakanmu.

* Dia menyokong impian dan matlamat hidup kamu. Matlamat hidup seorang wanita mungkin berbeza, terpulang pada apa yang dia mahu. Mungkin seorang wanita itu mahukan keluarga yang bahagia, menjadi wanita berkerjaya ataupun perniagaan yang maju. Sekarang ni pun wanita semakin berdikari dan berpendidikan tinggi. Lelaki yang tepat seharusnya menggalakkan wanita ini serta menyokongnya dari belakang.



Patutkah saya berkahwin atau kekal bujang?

Perkahwinan melibatkan banyak tanggungjawab. Ia mungkinlah satu benda yang menyeronokkan bila kamu akhirnya berjumpa dengan seseorang yang kamu mahu hidup bersama, selamanya. Kamu perlu ingat yang walaupun kamu bersama, ini tidak bermakna kamu patut berhenti berkembang sebagai individu.

Sama ada untuk berkahwin atau kekal bujang, terpulanglah pada kamu. Wanita kini mempunyai banyak pilihan. Mereka semakin berpelajaran tinggi dan lebih berdikari. Sesetengah wanita mungkin memilih untuk kekal bujang kerana mahu fokus terhadap karier dan matlamat lain. Mereka percaya yang masa untuk melakukan semua itu akan menjadi terhad sekiranya mereka berkeluarga. Untuk sesetengah yang lain, pengalaman pahit yang lepas mungkin membuatkan mereka tawar hati untuk berkahwin.

Walau apapun, hanya kamu yang boleh memutuskan apa yang membuatkan kamu bahagia. Fikir semasak-masaknya dan timbangkan apa yang terbaik dalam hidup. Menetapkan keutamaan kamu pasti akan membantu dalam membuat keputusan.



Berapakah umur terbaik untuk berkahwin?

Perkahwinan melibatkan banyak tanggungjawab. Pasangan berkahwin akan menyedari yang cinta memainkan peranan yang kecil apabila mereka merasai kehidupan sebenar selepas berkahwin. Lebih elok kalau berkahwin apabila kamu sudah cukup matang. Untuk menjadi cukup matang, ia bermakna yang kamu bukan sahaja perlu matang secara seksual malahan emosi dan mental. Tubuh kita mencapai kematangan seksual sekitar lewat remaja. Ini tak bermakna yang kamu dah boleh berkahwin bila kamu berumur 18 atau 19. Memanglah boleh, tapi, jadilah lebih bertanggungjawab dan melihat hidup dari perspektif yang berbeza. Tanyalah diri kamu, jika kamu sudah tamat sekolah, jika kamu mempunyai pekerjaan tetap, jika kamu bersedia untuk berkongsi hidup dengan seseorang yang sangat berbeza dengan kamu, jika kamu bersedia untuk lebih bertanggungjawab dengan membayar sewa dan bil, dan jika kamu dah sedia untuk menjaga anak-anak. Hanya bila kamu dah bersedia sepenuhnya barulah kamu patut berfikir mengenai perkahwinan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...