Tuesday, August 31, 2010

Anak VVIP bertaubat selepas murtadkan 500 orang Melayu -Oleh Wan Mohd.Hafiz Wan Hamzah - Email – hafiz_mastika@yahoo.com

Di sebuah dewan,dihadapan kira-kira 500 orang pelajar dan sekumpulan pensyarah,kelihatan seorang lelaki berumur,berketayap dan berbaju putih sedang duduk tanpa sebarang bicara.Riak wajahnya serius. Lelaki yang dimaksudkan Mastika itu ialah Mufti Perak,Datuk Seri Harussani Zakaria. Beliau sedang berceramah tentang kisah murtad yang melanda masyarakat Melayu hari ini kepada pelajar-pelajar di Universiti Teknologi Petronas Malaysia,Tronoh, Perak. Setelah diam untuk beberapa ketika, beliau kemudiannya memulakan cerita…
 
Kata Datuk Seri Harussani, pada suatu hari kira-kira tiga bulan lalu,beliau didatangi oleh seorang wanita Melayu berusia 30-an dipejabatnya, Ipoh, Perak.
 
Kedatangan wanita itu agak mengejutkan kerana sebaik bertemu,tanpa berselindung wanita itu berkata,tujuannya datang berjumpa beliau adalah untuk membuat pengakuan.Dia telah murtad dan pernah menjadi pendakwah bagi pertubuhan dakwah agama lain untuk menarik orang ramai memeluk agama tersebut. Wanita itu juga membuat pengakuan,bahawa dia bukanlah daripada golongan biasa,tetapi daripada golongan yang berkedudukan.Dia anak seorang VVIP!
 
Datuk Seri Harussani terkejut mendengarkan pengakuan wanita itu dan ingin tahu dengan lebih mendalam.
 
Wanita berperwatakan sederhana itu kemudian menceritakan kisah hidupnya.Kata wanita itu,dia adalah bekas penuntut sebuah Universiti Islam di Negara ini.Wanita itu kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar,namun hanya sempat belajar di universiti tersebut selama dua tahun sahaja.Atas sebab-sebab tertentu,dia tidak berjaya menamatkan pengajian,wanita itu kemudianya kembali ke Malaysia dan bergiat cergas dalam persatuan sosial. Penglibatannya dalam kerja-kerja kebajikan banyak menemukan dia dengan pelbagai pertubuhan. Tidak lama selepas itu,wanita tersebut terlibat dengan kerja-kerja sosial di bawah naungan badan kebajikan yang dipelopori majoritinya daripada kalangan bukan Islam.Ahli badan kebajikan itu ternyata begitu baik terhadapnya.Namun,kata wanita itu,dia sedikit hairan apabila ada di kalangan ahli-ahli sering berbual tentang topik agama bila bersembang bersamanya.
 
Rupa-rupanya,kumpulan tersebut bukan sahaja meletakkan kerja-kerja kebajikan sebagai agenda utama,tetapi turut  menjalankan aktiviti dakwah agar orang ramai menganut agama mereka.Wanita itu,mengakui ada di kalangan ahli yang turut memberikan dakwah kepadanya dan meminta dia meninggalkan Islam dan memeluk agama mereka. Tanpa disedari sedikit demi sedikit,dia mula terpengaruh,akhirnya meninggalkan Islam dan seterusnya menganut agama mereka.Kata wanita itu lagi,dia kemudiannya dihantar  ke Singapura untuk mendalami ajaran agama tersebut.
 
Sekembalinya dari Singapura,wanita itu diberi tugas untuk menjalankan dakwah,terutama terhadap individu yang sebangsa  dengannya,iaitu orang Melayu.Setakat ini, wanita tersebut mengakui telah berjaya menarik seramai lebih 500 orang Melayu untuk memeluk agama tersebut. 
 
Kata Datuk Seri Harussani lagi,wanita itu memberitahu,antara golongan yang menjadi sasaran mereka adalah remaja,pekerja kilang,pelajar-pelajar yang tidak dapat menyambung pelajaran atau keciciran serta penagih dadah. Sambung beliau,wanita itu turut mendedahkan ada gerakan yang mensasarkan golongan remaja  pengikut aliran black metal untuk didekati dan dimurtadkan.
 
“Setakat ini,mengikut fakta,terdapat hampir 13,000 remaja Melayu yang terlibat dalam kegiatan black metal.Saya diberitahu wanita tersebut,golongan ini sedang didekati secara berperingkat-peringkat sehingga ke tahap meniggalkan Islam.
 
“Saya sebut dan tunjukkan tempat-tempat tersebut kepada beberapa pihak,namun tidak ada sesiapa yang mahu percaya.Daripada maklumat yang saya perolehi,setiap hari minggu,di beberapa buah supermarket di kawasan tempat-tempat permainan,di situlah mereka menjalankan aktiviti `memulihkan` pemuda-pemudi kumpulan black metal yang kebanyakkan terdiri daripada remaja berbangsa Melayu,” ucapnya lagi.
Kegiatan memurtadkan anak-anak melayu ini,kata wanita itu kerap dijalankan di sekitar negeri Johor,Selangor, terutamanya di Kuala Lumpur.
 
Di Kuala Lumpur misalnya,kata Harussani,wanita itu mendakwa sudah hampir 20 ribu orang melayu murtad secara senyap-senyap hasil daripada gerakan dan aktiviti dakwa kumpulan tersebut. Wanita itu turut membawa dokumen serta gambar-gambar rumah ibadat tempat mereka menjalankan operasi. Jelas wanita tersebut, kumpulanya juga sudah mengenal pasti beberapa buah tempat yang menjadi lubuk untuk mereka`memancing`.
 
Bagaimanpun,selepas bertahun-tahun murtad, hati wanita itu tiba-tiba berubah.
 
Beberapa pengalaman yang dilaluinya didalam pertubuhan dakwah badan agama itu,termasuk terpaksa menikmati hidagan daging babi,membuatkan dia terfikir semula tentang kesucian Islam.Insiden ini membuat dia tertanya-tanya,apakah tindakannya meninggalkan Islam merupakan satu tindakan yang benar dan tepat?
 
Ini menyebabkan, wanita itu sedikit demi sedikit mula menjauhi pertubuhan tersebut dan seterusnya membuat keputusan untuk mendedahkan aktiviti memurtadkan anak Melayu ini kepada Datuk Seri Harussani sebagai satu peringatan. Kini wanita tersebut,menurut Datuk Seri Harussani,telah pun bertaubat dan kembali kepada Islam secara senyap-senyap.Bagaimanpun dia masih tetap mengekalkan nama barunya yang ditukar ketika menganut agama lain,kerana bimbang nyawanya diancam.
 
“Saya sedih dan pelik,macam mana seorang pelajar agama, anak VVIP boleh tinggalakan Islam,”kata Datuk Seri Harussani.
 
Semua yang berada dalam dewan terdiam mendengar sebuah kisah yang amat mengejutkan daripada beliau itu. Tegasnya lagi,selain daripada gerakan NGO pertubuhan dakwah agama lain, gereja murtad ini turut disokong oleh tindakan segelintir individu atau kumpulan Islam yang cuba memesongkan akidah serta iman umat Islam.Mereka ini mengelirukan umat Islam dari segi hal-hal syariah dan akidah. Sebab itu kata beliau,ada dikalangan masyarakat Melayu terutama daripada golongan-golongan profesional,atau intelektual yang mula,menentang dan mempertikaikan hukum-hukum dalam Islam.
 
Golongan seperti ini menganggap Nabi sebagai Ummi. Ummi yang mereka maksudkan ialah buta huruf sedangkan istilah ummi itu sebenarnya bermaksud,Nabi tidak pernah mendapat pendidikan formal seperti manusia lain di dunia ini,jelas Datuk Seri Harussani. Biarpun tiada pendidikan formal,tetapi tegas beliau,perlu diingat,difahami dan diyakini,Rasulullah s.a.w diajar oleh malaikat Jibril.Dan lebih dari itu,baginda telah dididik secara langsung oleh Allah.Ini disebut di dalam al-Quran sendiri,”sambungnya lagi.
 
“Mungkin Nabi tidak ada sijil atau ijazah,tetapi tahap pengajian dan kelulusannya itu tidak akan dapat dicapai oleh sesiapa pun pada hari ini atau pada masa akan datang,”kata Datuk Seri Harussani disambut oleh anggukkan oleh para pendengar.
 
Tambah beliau lagi,Islam kini sedang tercabar dan akidah umatnya dalam bahaya.Untuk itu,Umat Islam perlu berjihad.Tetapi jihad yang bagaimana?
 
Antara jihad yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam di negara ini menurut beliau ialah mendidik anak,isteri,keluarga dan juga masyarakat tentang kefahaman al-Quran,menjadi seorang mukmin yang sejati,mempunyai kesedaran jati diri,ada iman yang tinggi,mempunyai semangat membela agama dan saudara seagama. Ibu bapa katanya,merupakan tonggakan penting dalam jihad ini.Golongan ini perlu memainkan peranan sebagai pendakwah untuk `menyebar,menyampaikan dan menerapkan nilai-nilai Islam`terhadap anak-anak dan isteri.
 
“Selama 500 tahun orang putih menjajah kita.Dalam jangka masa tersebut mengikut  rekod dan fakta ,hanya 147 orang Melayu sahaja yang memeluk agama lain. Ini bermakna kekuatan iman ketika itu tersangat kukuh dan mantap.
 
“Tetapi lihat orang Melayu pada hari ini.Belum pun 50 tahun kita merdeka,kenal dunia teknologi tidak sampai lima tahun, jadi moden tidak sampai 24 jam, sudah beribu-ribu orang kita yang terjebak dalam gejala murtad. Ini membuktikan bahawa iman kita lemah,” tegas beliau.
 
Sebaik sahaja Datuk Seri Harussani menamatkan ceramahnya, Mastika segera mendapatkan beliau.Tetapi sayang,perbualan Mastika dengan Mufti Perak itu hanya dapat dilakukan dalam 10 minit sahaja kerana beliau demam dan tidak begitu sihat pada hari tersebut.
 
Mastika bertanya pada  Datuk Seri Harussani,jika benar perkara ini begitu serius terjadi dalam masyarakat umat Islam,apa yang perlu umat Islam lakukan?
 
Kata beliau ,umat Islam khususnya orang Melayu hari ini tidak boleh terlalu leka dengan hiburan dan segala kesenangan yang terbentang di hadapan mata.Akibat lalai umat Islam banyak ketinggalan daripada pelbagai sudut.
 
“Saya sedih,sekarang ini ilmu tidak lagi menjadi satu perkara yang diutamakan oleh umat Islam.Al-Quran tidak difahami.Tidak tahu sejarah Islam dan perjuangan Nabi s.a.w kisah para sahabat langsung tidak ambil tahu.Sikit sangat yang ambil berat tentang perkara ini.Tetapi dalam bab berhibur,kenapa kita boleh jadi nombor satu?
 
“Kalau bab hiburan,kita ke depan.Tetapi kenapa tidak dengan perkara-perkara lain? Perlu diingatkan,Islam tidak suruh kita pandai belajar agama sahaja,tetapi perlu jadi orang yang pandai dalam ilmu duniawi juga.Kita perlu tahu tentang asas-asas teknologi,tahu matematik,tahu sains,kerana mengetahui perkara basic ilmu-ilmu tersebut adalah fardu ain bagi umat Islam.
 
“Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang,tetapi apa yang berlaku terhadap umat Islam amat jelas hari ini.Bukan di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.
 
“Di luar negara umat Islam di tindas dengan peperangan,sekatan ekonomi dan sebagainya.Tetapi di negara ini umat Islam diserang dengan ideologi pemikiran,budaya dan akidah songsang.
 
“Inilah sebab-sebab utama masyarakat Islam dinegara ini semakin lama semakin hancur akhlak,budi dan akidahnya.Umat Islam perlu lakukan sesuatu sebelum satu hari nanti, janerasi akan datang menangis menyesali ibu bapa hari ini kerana lemah dan hidup tanpa perjuangan,”tegas beliau sebelum minta diri.             
 
Mastika Disember 2006 (m/s 106-111)
Disusun semula dari naskah asal oleh SHAZ dan Tok Ngah
<<<<<<<<<<<<  ®  v  ®  >>>>>>>>>>>>
** catatan
  w@gim@n**
Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana  artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.
Contoh:  Penulis:  Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah  hafiz_mastika@yahoo.com
Terbitan asal:  Mastika Disember  2006
  (m/s 106 – 111)
url artikel:
http://grenbara.bravejournal.com/entry/21093    2006 - 2007 ® Hak cipta Selebet International ™

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...