Saturday, May 01, 2010

Pemeriksaan Pelvik

Apakah itu pemeriksaan pelvik? Bagaimana ia dilakukan?
Apabila kamu mula risau mengenai perubahan yang berlaku terhadap kitaran haid atau lelehan vagina, doktor mungkin melakukan pemeriksaan pelvik untuk memeriksa organ seks kamu. Sebelum pemeriksaan, kamu akan diminta untuk menanggalkan baju dan pakaian dalam. Kamu juga mungkin diminta untuk membuang air kecil sebelum pemeriksaan. Sehelai selimut akan menutupi bahagian atas tubuh kamu dan bahagian bawah tubuh kamu akan didedahkan untuk pemeriksaan. Kamu akan diminta untuk baring, menaikkan kaki dan bahagian belakang kamu akan disokong dengan rakap. Semasa pemeriksaan, doktor mungkin memasukkan jarinya yang bersarung untuk merasa atau memeriksa organ seks kamu seperti ovari atau uterus. Peralatan besi yang dipanggil spekulum mungkin dimasukkan ke dalam salur vagina untuk membuka dinding vagina dan melihat vagina dan serviks secara terus. Pap smear juga mungkin dilakukan semasa pemeriksaan pelvik untuk mendapatkan sampel daripada serviks dan vagina untuk pemeriksaan lanjut. Cuba untuk relaks dan beranafas secara normal agar kamu sentiasa tenang.

Patutkah saya takut dengan pemeriksaan pelvik? Sakit ke?
Kamu mungkin sedikit bimbang atau takut untuk menjalani pemeriksaan pelvik. Biasalah tu. Namun begitu, perasaan bimbang atau takut tidak patut membantutkan hasrat kamu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan terutamanya apabila perlu. Luahkan perasaan kamu pada doktor sekiranya kamu rasa bimbang atau takut. Soalan seperti: Sakit ke? Berapa lama pemeriksaan ini? Bila boleh tau keputusan?, merupakan antara soalan yang boleh ditanya. Mengetahui maklumat mengenai prosedur akan membuatkan kamu lebih tenang. Semasa pemeriksaan, spekulum iaitu besi panjang atau peralatan plastik akan dimasukkan ke dalam salur vagina. Ia akan membuka dinding vagina agar doktor kamu boleh melihat vagina dan serviks. Untuk wanita muda yang tidak pernah melakukan hubungan seks, spekulum yang nipis dan pendek akan digunakan. Spekulum akan dihangatkan dan diselaputi pelincir sebelum dimasukkan untuk mengelak sebarang ketidakselesaan atau kesakitan. Jika kamu berasa sakit, beritahulah pada doktor. Jangan takut ya!

Apa yang penting sangat mengenai pemeriksaan ini? Bunyinya macam rumit je.
Demi kebaikan kamu, lebih baik kamu bersifat terbuka dalam menerima nasihat atau pandangan daripada ahli keluarga atau doktor. Kami tahu yang organ seks mungkin tidak diperiksa ketika pemeriksaan kesihatan biasa. Tidak seperti jantung yang berdegup atau memberikan bunyi ketika seseorang itu bernafas, uterus atau vagina perlu dipegang atau dilihat untuk mengesan sebarang penyakit. Sebab itulah pemeriksaan pelvik dilakukan. Ia membolehkan doktor untuk melihat vagina dan serviks secara terus menerus. Melalui Pap smear, sampel mungkin diambil dari permukaan serviks untuk melihat sebarang keabnormalan dalam serviks.

http://www.kotex.com.my/body-and-you-kesihatan/vagina/vagina-pelvik-exam.aspx

PAP Smear

Picture 1

Pap Smear: Bukan Main-main
Pap smear merupakan pemeriksaan penting yang diketahui ramai, bukan terhad kepada wanita sahaja malahan lelaki. Ayah dan teman lelaki kamu pun mungkin pernah dengar mengenainya. Ia satu ujian yang digunakan untuk mengesan sebarng keabnormalan dalam serviks wanita. Mak dan kakak kamu mungkin pernah melakukan Pap smear sekurang-kurangnya sekali.
Pap smear sebenarnya kependekan untuk Papanicolau smear. Ia merupakan ujian saringan yang digunakan untuk memeriksa sebarang perubahan dalam serviks wanita. Kamu masih ingatkan, yang serviks tu struktur berbonjol daripada uterus yang menampung bayi semasa dalam kandungan. Inilah bahagian uterus yang membuka kepada vagina. Serviks melalui perubahan semasa kitaran haid wanita dan semasa mengandung.
Pap smear dijalankan oleh doktor pakar ataupun pakar sakit puan. Sampel lelehan serviks atau mukus daripada serviks diambil dengan memasukkan putik kapas dan memusingkannya pada permukaan serviks. Sampel kemudiannya disapukan pada slaid dan dilihat di bawah peralatan sains yang dipanggil mikroskop. Mikroskop membolehkan pemeriksa untuk melihat komponen-komponen lelehan. Pap smear digunakan untuk mengesan kanser serviks atau sebarang jangkitan yang terdapat semasa pemeriksaan.

Berapa kerapkah harus saya jalani Pap smear?
Pap smear merupakan ujian saringan yang digunakan untuk memeriksa penyakit di serviks wanita yang tidak mempunyai sejarah penyakit serviks seperti kanser

serviks.Terdapat beberapa panduan yang digunakan oleh doktor apabila menjalani Pap smear. Pap smear pertama biasanya dilakukan tiga tahun selepas persetubuhan pertama kali dilakukan. Sesetengah panduan mengesyorkan menjalani Pap smear setiap 2 hingga 3 tahun sementara ada yang mengesyorkan pemeriksaan Pap smear untuk wanita yang aktif melakukan hubungan seks, setiap tahun sehinggalah mencecah umur 30.
Apakah Pap smear yang tidak normal?
Apabila menjalani Pap smear, pemeriksa biasanya akan memeriksa sel-sel luar biasa. Sel-sel luar biasa akan kelihatan lain daripada sel biasa. Ia mungkin mempunyai warna berlainan apabila dicampurkan dengan pewarna tertentu dan mungkin mempunyai saiz dan bentuk yang pelik. Kehadiran sel luar biasa mungkin menunjukkan berlakunya kanser serviks atau terdapatnya jangkitan. Sebelum kamu jadi lebih risau, lebih baik kamu tahu yang tak semua keputusan abnormal Pap smear bermaksud terdapatnya kanser serviks.

Keputusan Abnormal Pap Smear
Hasil ujian Pap smear mungkin mengandungi banyak istilah perubatan yang menakutkan kamu. Berikut merupakan beberapa istilah yang biasa dan maksudnya:
  • Sel Skuamus Atipikal. Ini bermakna yang sel abnormal mungkin kelihatan semasa Pap smear yang mungkin disebabkan oleh jangkitan. Sel-sel ini juga mungkin berkembang menjadi kanser.
  • Displasia. Ini bermakna yang sel abnormal mungkin kelihatan semasa Pap smear. Displasia bukannya kanser. Walau bagaimanapun, dysplasia mungkin, tapi tak semestinya berkembang menjadi kanser serviks
Jenis-jenis Displasia
  • SIL. Squamous Intraepithelial Lesion. Ini bermakna yang sel leper nipis di permukaan luar serviks kamu dikesan tidak normal. Seperti dysplasia, SIL terutamanya yang berbentuk parah mungkin berkembang menjadi kanser serviks peringkat awal.
  • CIN. Cervical Intraepithelial Neoplasia. Ini bermakna terdapat pertumbuhan tidak normal pada serviks. Perubahan tidak normal ini hanya berlaku pada permukaan paling luar serviks.
  • Carcinoma in situ (CIS).Ini bukannya kanser serviks. Ini merupakan salah satu bentuk SIL yang memberitahu kamu yang sel yang berkemungkinan berkembang menjadi kanser adalah terhad pada permukaan serviks dan belum masuk ke lapisan yang dalam.
Ambil Perhatian: Pap Smear Tidak Normal!!!
Apabila Pap smear menunjukkan keputusan tidak normal, doktor kamu mungkin melakukan perkara-perkara berikut:
  • Mengulangi pemeriksaan Pap smear
  • Memberi ubat seperti Krim Estrogen. Keabnormalan dalam serviks mungkin biasa semasa menopaus apabila hormon seks seperti estrogen mengurang. Sekiranya estrogen rendah yang menyebabkan keabnormalan dalam serviks, hasil pemeriksaan sepatutnya semakin positif selepas menggunakan krim estrogen.
  • Melakukan kolposkopi. Apabila melakukan kolposkopi, doktor kamu akan menggunakan peralatan yang dipanggil kolposkop untuk memeriksa serviks. Semasa prosedur ini, doktor akan menyapu larutan cuka lembut pada permukaan serviks. Kawasan yang bertukar menjadi putih selepas penyapuan larutan tersebut akan dianggap sebagai tidak normal.
  • Melakukan biopsi dengan mengambil sebahagian kecil permukaan serviks dan menghantarnya ke makmal untuk ujian. Melalui biopsy, doktor kamu boleh menentukan sama ada terdapat keabnormalan yang dijumpa semasa Pap smear atau kolposkopi adalah disebabkan kanser ataupun tidak.
Picture 2
Kanser Serviks
Kanser serviks menunjukkan pertumbuhan keabnormalan dalam serviks. Serviks merupakan bahagian bawah uterus. Ia merupakan struktur berbentuk bonjol dengan permukaan yang kaya dengan sel. Sel ini mungkin menjadi kanser apabila terdedah kepada organisma tertentu seperti Human Papilloma Virus (HPV), menghisap rokok dan jangkitan kelamin.

Meningkatkan Risiko Kanser Serviks
Berikut merupakan antara faktor yang dikatakan boleh meningkatkan peluang wanita mendapat kanser serviks:
  • Jangkitan Human Papilloma Virus. Jangkitan HPV merupakan penyebab paling umum kanser serviks. Virus yang menyebabkan kanser serviks tergolong dalam keluarga virus yang sama yang menyebabkan ketuat genital. Seks tanpa perlindungan mungkin meningkatkan peluang menyebabkan jangkitan HPV kerana seseorang itu mungkin mendapat jangkitan akibat sentuhan dengan kulit yang dijangkiti. Kebanyakan wanita boleh dijangkiti oleh virus tapi tak semua akan berkembang menjadi kanser serviks. Ujian Pap smear boleh menunjukkan terdapatnya jangkitan HPV.
  • Melakukan seks ketika masih muda.
  • Bertukar-tukar pasangan atau mempunyai pasangan yang kerap bertukar-tukar pasangan.
  • Genetik. Sekiranya ahli keluarga atau ada saudara kamu yang mempunyai kanser serviks, kamu mungkin mempunyai risiko mendapat kanser tersebut.
  • Merokok. Ada juga kehamilan dan kelahiran bayi yang boleh meningkatkan peluang mendapat kanser serviks. Kurang jelas kenapa ia berlaku.
  • Kehamilan. Ada juga kehamilan dan kelahiran bayi yang boleh meningkatkan peluang mendapat kanser serviks. Kurang jelas kenapa ia berlaku.
  • Penyakit Jangkitan Kelamin(STI). Terdapat perkaitan rapat antara beberapa jenis STI dan perkembangan kanser serviks.
  • Sistem Imun Lemah. Stres dan diet yang keterlaluan mungkin melemahkan sistem imun kamu. Sesetengah wanita, walau dijangkiti HPV, mungkin tidak mendapat kanser serviks kerana pertahanan tubuh mereka, sistem imun lah tu, kuat untuk melawan jangkitan. Apabila sistem imun semakin lemah, seorang wanita mempunyai kemungkinan mendapat kanser serviks.
  • Diet. Diet yang kurang dengan sayur dan buah mungkin menyebabkan kamu tak cukup zat. Jadi lemahlah sistem imun kamu!
Mencegah Kanser Serviks (Barah Pangkal Rahim)
Sentiasa berjaga-jaga dan melindungi diri anda sepenuhnya, pasti merupakan salah satu cara terbaik. Berikut merupakan cadangan yang boleh kamu buat untuk mengelakkan kanser yang menakutkan tu.
  • Pakai perlindungan ketika melakukan seks.
  • Elakkan melakukan seks ketika masih muda.
  • Berhenti merokok.
  • Makan banyak buah-buahan dan sayur. Kekal cergas!
  • Jalani pemeriksaan Pap smear.
  • Dapatkan suntikan vaksin. Vaksin yang digunakan untuk mencegah kanser servik ada di pasaran. Ia mungkin sedikit mahal, tetapi budak perempuan seawal umur 9 tahun sudah boleh mendapatkan vaksin tersebut. Tanyalah pada doktor kamu mengenainya. 
http://www.kotex.com.my/body-and-you-kesihatan/vagina/kanser-PAP-smear.aspx

VAGINA

Apa itu vagina?
Vagina kamu tu sebenarnya merupakan tiub yang terhasil daripada dinding yang bergabung bersama. Dalam wanita dewasa, ia tiub sepanjang 9cm. Ia merupakan tiub berotot yang dilapisi membran nipis. Otot terdapat pada ruangan paling dalam dinding dan memberikan sokongan yang diperlukan pada dinding. Sebahagian daripada vagina melekat pada bahagian uterus yang dipanggil serviks. Serviks merupakan bahagian pembukaan uterus yang mempunyai struktur seakan buah pear, yang berfungsi menampung bayi ketika dalam kandungan. Masih ok setakat ni?
vagina
Tiub Fallopio, Uterus, Ovari, Serviks, Vagina
Mana letaknya vagina?
Vagina bukannya merupakan anggota badan yang boleh kita nampak dan bersihkan semasa mandi. Kawasan tiga segi terbalik yang kamu bersihkan setiap pagi tu sebenarnya mons daripada vulva. Vagina ni kedudukannya agak tersorok daripada pandangan. Ia merupakan tiub yang memanjang ke belakang dan ke atas, yang dikelilingi oleh dinding yang memisahkan vagina daripada struktur lain berdekatan.

Apa fungsinya vagina?
Vagina menghubungkan bahagian luaran badan dan uterus. Vagina merupakan ruang yang memegang penis, iaitu organ seks lelaki semasa persetubuhan dilakukan. Apabila kamu period, darah akan keluar melalui vagina. Ia juga merupakan tempat keluarnya bayi semasa bersalin.

Bagaimana vagina terbentuk semasa dalam kandungan?
Vagina terbentuk awal semasa dalam kandungan. Sekitar kandungan berusia 7 minggu, fetus mula membentuk struktur yang menghasilkan bahan kimia. Struktur awal ini dipengaruhi oleh kromosom atau jenis genetik yang terhasil daripada ibu bapa. Bahan kimia yang dikeluarkan oleh struktur ini menentukan jenis organ seks yang akan terbentuk. Dua kromosom X akan menyebabkan tiub-tiub kecil ini membentuk organ seks wanita seperti uterus, tiub fallopio dan vagina. Sekiranya terdapat kromosom Y, organ seks lelakilah yang akan terbentuk. Sepanjang kehamilan, tiub-tiub kecil dan duktus tertutup dan terbuka sehinggalah ia menjadi organ seks dalaman. Apabila hormon seks seperti estrogen dibebaskan, struktur lain seperti kelentit mula terbentuk.

Adakah vagina diselaputi oleh kulit?
Vagina juga perlu dilindungi tapi ia taklah dilapisi oleh kulit. Kulit tu terlalu tebal dan tak sesuai. Jadi vagina dilindungi oleh membran nipis seperti selaput. Ini membuatkan vagina sangat sensitif. Cecair jernih menyerap keluar daripada lapisan ini semasa aktiviti seksual atau apabila seseorang itu menjadi ghairah. Lapisan ini mungkin mempunyai benjolan sedikit, dan ia merupakan perkara biasa yang tak perlu kamu risaukan.

Adakah kita kencing melalui vagina?
Ia mungkin kelihatan seperti kita kencing melalui vagina kerana air kencing seakan keluar daripada pembukaan vagina apabila kita kencing. Sebenarnya, kita kencing melalui pembukaan yang dipanggil urethral meatus. Urethra ini merupakan sebahagian daripada pundi kencing. Pundi kencing menampung air kencing yang datang dari buah pinggang dan membebaskan air kencing ke urethral meatus apabila seseorang itu membuang air. Urethral meatus ini selalunya tersorok dari pandangan. Mengetahui lokasi sebenarnya akan menyebabkan kamu tahu yang bagaimana jangkitan urin boleh menyebabkan jangkitan pada vagina dan begitulah sebaliknya.

Apa itu vulva? Adakah ia sama dengan vagina?
Vagina berbeza dengan vulva. Sementara vagina terdapat di dalam tubuh, vulva termasuklah kawasan yang dapat kamu lihat dan bersihkan setiap pagi. Vulva merupakan istilah yang digunakan untuk menamakan semua struktur luaran dan menandakan organ seks wanita dan pembiakan. Untuk memudahkan kamu, cuma ingat saja yang vulva itu organ seks luaran dan vagina pula organ seks dalaman. Mudah kan?

Bahagian-bahagian Vulva
Mons - Bahagian dasar segi tiga terbalik tu dipanggil mons pubis vulva. Ia lembut kerana diperbuat daripada tisu-tisu lemak. Semakin seorang perempuan meningkat dewasa, kawasan ini akan diliputi oleh bulu-bulu kasar.

Bibir - Mons membentuk dua lipatan kulit yang dipanggil labia atau bibir. Bibir luaran yang besar dipanggil labia majora. Yang di dalam dan lebih kecil dipanggil labia minora. Untuk gadis yang semakin matang dan wanita dewasa, labia majora mereka diliputi oleh bulu-bulu kasar.

Kelentit - Merupakan stuktur kecil berbonjol yang terdapat di depan vulva di mana lipatan labia minora bergabung. Kelentit sangat sensitif kerana ia mengandungi banyak penghujung saraf.

Vestibul - Ini merupakan kawasan di antara labia minora. Di sinilah terdapatnya dua bukaan:

Urethral meatus di mana merupakan laluan air kencing.

Pembukaan vagina yang membawa kepada salur vagina.

Organ-organ Seks Dalaman
Vagina, ovari dan uterus, membuatkan seorang wanita itu boleh melahirkan anak. Organ-organ seks ini berfungsi bersama agar kematangan seksual dapat dicapai. Berikut merupakan cara bagaimana ia berfungsi bersama. Otak memproses dan mengawal signal-signal ini. Dengan bantuan signal tersebut, gadis dan budak lelaki mula merasai perubahan terhadap tubuh badan mereka. Perubahan ini disebabkan bahan kimia yang dibebaskan oleh otak yang memberitahu ovari pada wanita untuk mengeluarkan bahan yang dipanggil hormon. Hormon ini dipanggil estrogen dan progesteron dan ia menyebabkan perubahan terhadap tubuh kamu. Semasa tempoh ini, gadis mula mendapati terdapat bulu-bulu pada ketiak dan payu dara mereka semakin membesar. Gadis remaja juga mungkin merasa dan berkelakuan berbeza dalam tempoh ini.
Vagina hanyalah salah satu organ seks dalaman dalam tubuh. Organ seks dalaman yang lain termasuklah:

Uterus - Struktur berbentuk pear dalam tubuh wanita ini menampung dan memberikan zat pada fetus yang membesar semasa dalam kandungan. Ia mempunyai dua bahagian iaitu: badan dan serviks. Badan merupakan bahagian yang paling besar dalam uterus yang berfungsi untuk menampung bayi semasa dalam kandungan. Serviks pula merupakan bahagian bawah uterus. Ia mempunyai pembukaan untuk bayi keluar semasa bersalin. Sebarang lelehan atau darah haid juga keluar melalui serviks dan terus menghala ke vagina.

Tiub Fallopio - Ia terdiri daripada dua tiub nipis panjangnya kira-kira 12cm yang keluar dari sisi uterus kamu. Tiub ini mempunyai struktur seakan-akan jari di hujungnya di mana ia berfungsi untuk “menangkap” telur apabila dilepaskan oleh ovari. Dalam tiub ini terdapat rerambut halus yang membantu telur-telur ini untuk bergerak dalam tiub. Apabila persetubuhan dilakukan, sperma akan bersatu dengan telur dalam tiub fallopio.

Ovari - Ovari merupakan struktur berbentuk bujur yang terletak berdekatan tiub fallopio dan uterus. Ia sangat penting untuk kematangan seksual dan keupayaan untuk hamil bagi seseorang wanita. Ovari menghasilkan hormon seks wanita iaitu estrogen dan ia juga menghasilkan telur-telur kamu yang diperlukan untuk kehamilan berlaku. Beratus-ratus telur dihasilkan dalam ovari kamu tapi hanya satu telur sahaja yang dilepaskan setiap bulan.

PMS!!

Apa itu PMS atau Sindrom Prahaid?
Keadaan ini terjadi kira-kira dua minggu sebelum bermulanya haid kamu berbeza dengan dismenorea yang terjadi ketika bermulanya haid kamu. PMS biasa terjadi pada wanita berumur wanita yang sihat juga turut mengalaminya. Wanita yang sedang PMS akan mengalami perkara-perkara di bawah beberapa hari sebelum didatangi haid:
  • Perubahan emosi. Kamu mungkin pemarah daripada biasa. Kesesakan lalu lintas dan cuaca yang panas boleh menaikkan kemarahan kamu. Perkara remeh juga boleh menyebabkan kamu menangis.
  • Kamu perlukan masa untuk bersendirian. Beberapa hari sebelum haid, kamu mungkin mahu ruang untuk kamu sendiri . Kamu lebih selesa duduk di dalam bilik beberapa jam dan tidak peduli menolak jemputan ke keraian.
  • Saya kembung. Kamu merasakan diri kamu gemuk, hodoh dan kembung beberapa hari sebelum haid. Kamu juga mungkin merasakan sedikit kesakitan otot dan payu dara kamu menjadi lebih sensitif terhadap sebarang sentuhan.
  • Mengidam! Kamu akan mengidam beberapa makanan dan tidak menghiraukan makanan lain. Kemungkinan juga kamu hanya mahu makan makanan yang manis dan masam.
  • Tahap konsentrasi yang lemah. Kamu menjadi cemerkap dan mengambil masa yang lebih lama daripada biasa untuk menyelesaikan tugas.
PMS dan Penyebabnya:
  • Ketidakseimbangan hormon. Peningkatan estrogen dan penurunan progestrone yang merupakan hormon utama perempuan boleh menyebabkan PMS. Estrogen membuatkan tubuh kamu menyimpan lebih banyak cecair dan ini menjelaskan kenapa kamu merasa kembung dan terasa berat beberapa hari sebelum haid kamu.
  • Ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak. Wanita yang mengalami PMS mempunyai tahap serotonin yang rendah dan ini menyebabkan perubahan emosi dan menjadi agak pemarah.
  • Kekurangan vitamin. Sekiranya kamu tidak mengambil makanan yang kaya dengan Vitamin A dan B seperti sayuran hijau dan kuning, kamu boleh mengalami PMS. Vitamin ini menolong mengekalkan keseimbangan di dalam otak kamu.
  • Stres. Kurang tidur dan masalah emosi juga boleh menyebabkan PMS.
Sebelum berjumpa doktor, apakah yang boleh saya lakukan untuk mengurangkan PMS?
  • Tulis diari. Kamu boleh meluahkan perasaan kamu sepanjang dua minggu sebelum bermulanya haid kamu. Jangan lupa menulis tarikh dan apa yang kamu rasa sepanjang tempoh itu. Kenal pasti tanda-tanda PMS dan periksa sama ada kamu mengalaminya. Jangan lupa juga mencatat jika kamu ada melakukan senaman atau makan sesuatu yang berkhasiat sepanjang tempoh itu.
  • Ubah diet kamu. Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanlah vitamin B tambahan sepanjang tempoh itu.
  • Lakukan beberapa senaman. Berjalan, berlari atau berenang. Ajak kawan-kawan atau keluarga menemani kamu. Ini boleh menjadikan senaman lebih ceria dan menyeronokkan.
Bilakah saya patut berjumpa doktor kerana PMS?
Ada sesetengah wanita mengalami PMS yang teruk. Mereka akan merasa sangat sedih dan tertekan sepanjang tempoh ini. Wanita yang lebih muda pula merasa tidak selesa dengan perasaan menggemuk. Perubahan emosi juga boleh mengeruhkan perhubungan kamu. Lebih elok jika kamu berjumpa doktor jika kamu tidak selesa dengan PMS. Bergantung pada hasil diagnosis, ubat-ubatan mungkin diberikan oleh doktor. Walau bagaimanapun, waktu ini adalah masa yang sesuai untuk mendapatkan kepastian daripada doktor tentang sebarang keraguan dan kebimbangan kamu.

SENGGUGUT?APA TU?KENAPA?


Apa itu senggugut?
Senggugut atau istilah perubatannya ialah dismenorea. Ia merujuk kepada kesakitan yang kamu alami semasa permulaan period. Ia mungkin lebih teruk semasa 2 hari pertama dan tidak semestinya akan dialami setiap kali kamu period. Untuk sesetengah gadis, mereka mengalami senggugut yang teruk manakala yang lainnya, cuma kesakitan yang agak sederhana atau sedikit.
 
Apa yang menyebabkan dismenorea?
Kamu mungkin mula mengalami senggugut sekitar 6 hingga 12 bulan selepas bermulanya period kamu yang pertama. Untuk sesetengah gadis lain, mereka mungkin mula mengalaminya apabila mereka berumur 20 atau 30. Kesakitan dismenorea ini adalah disebabkan pengecutan atau pergerakan kuat otot-otot uterus. Dismenorea mungkin menjadi disemenorea primer atau sekunder bergantung kepada penyebabnya:
 
Dismenorea Primer
Kebanyakan gadis telah mengalami senggugut bermula period pertama mereka atau sejurus selepas itu. Gadis yang mendapat period pada umur 12 atau lebih awal dan mereka yang mempunyai period lebih lama lebih berkemungkinan untuk mengalami dismenorea primer. Dismenorea jenis ini tidak disebabkan oleh penyakit lain seperti ketumbuhan abnormal ataupun jangkitan. Doktor kamu mungkin tidak akan menjumpai apa-apa yang luar biasa pada tubuh kamu semasa pemeriksaan. Sebab-sebab untuk dismenorea primer termasuklah:
Ketidakseimbangan Bahan Kimia - Oleh kerana keseimbangan merupakan perkara utama dalam mengekalkan kesihatan, ketidakseimbangan sesetengah bahan kimia di dalam tubuh kamu boleh menyebabkan dismenorea. Bahan kimia yang menyebabkan kamu senggugut adalah prostaglandin. Prostaglandin merupakan kimia yang membuatkan kita merasai kesakitan apabila ia berinteraksi dengan penghujung saraf kesakitan dalam tubuh kita.. Wanita yang mengalami dismenorea menghasilkan lebih banyak prostaglandin di dalam uterus mereka. Ini menyebabkan otot di dalam uterus mereka bergerak lebih kuat dan lebih kerap pada hari pertama period mereka. Semakin kuat pergerakan otot uterus semakin kurang darah mengalir ke kawasan itu. Kekurangan aliran darah ini menyebabkan hujung saraf di dalam uterus semakin sensitif pada kesakitan.
Genetik – Ada juga yang berkata gen mungkin memainkan peranan penting di sini. Sekiranya kamu mengalami senggugut , kakak, makcik atau ibu kamu mungkin turut sama mengalaminya.
 
Dismenorea Sekunder
Dismenorea Sekunder adalah apabila senggugut bermula sekitar dua tahun atau lebih selepas period pertama. Sesetengah wanita yang mengalami dismenorea jenis ini dapat diubati dengan pil penahan sakit. Dismenorea jenis ini memerlukan rawatan lanjutan oleh doktor. Dismenorea sekunder disebabkan oleh:
Apa itu endometriosis?
Wanita yang menghidap endometriosis kadang-kadang mengalami dismenorea yang amat teruk. Ia boleh berlaku setiap kali mereka period. Endometriosis terjadi apabila sebilangan kecil tisu yang menyerupai uterus tumbuh dalam struktur lain pada tubuh.
 
Mengapa ada wanita yang mengalami senggugut dan ada yang tidak?
Sesetengah wanita mungkin mempunyai gen yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada dismenorea. Beberapa kajian menunjukkan gen merupakan faktor utama. Gen membuatkan seseorang mengalami tahap dismenorea yang berlainan. Faktor lain seperti diet dan suasana persekitaran juga memainkan peranan. Diet yang berlemak, rendah protein dan rendah serat boleh meninggikan risiko untuk kamu mengalami senggugut. Pengambilan gula yang banyak dan alkohol serta kopi semasa kamu period boleh mengakibatkan dismenorea. Wanita yang merokok lebih berisiko untuk mengalami dismenorea berbanding yang tidak merokok. Rehat yang tidak mencukupi dan tekanan yang tinggi di tempat kerja dan sekolah boleh mengganggu keseimbangan bahan kimia di dalam badan kamu seterusnya mengakibatkan dismenorea.

Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan dismenorea. Ada faktor yang tidak dapat dielak seperti gen tetapi faktor lain seperti diet boleh diubah. Jadi, sebenarnya senggugut boleh dicegah atau setidak-tidaknya boleh mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
 
Saya telah mengalami dismenorea sejak lima tahun dahulu semasa saya berumur 13 tahun. Perlukah saya berjumpa doktor?
Sekiranya kamu mengalami dismenorea sejak pertama kali kamu period, besar kemungkinan ianya adalah dismenorea primer. Jadi kamu tidak perlu berjumpa doktor. Dismenorea primer boleh mengakibatkan:
  • Kekejangan. Bahagian bawah perut kamu mungkin terasa seperti dipulas atau dipintal.
  • Sakit kepala yang berdenyut-denyut
  • Muntah atau mual/loya
  • Sakit kaki dan bahagian belakang badan
  • Pergerakan usus yang tidak sekata
  • Pitam
Kesakitan Dismenorea: Bila perlu berjumpa doktor
Sakit tidak didapat dijangka. Siapa yang mahu sakit? Tetapi kesakitan yang kamu rasai kerana dismenorea boleh membantu kamu memahami apa penyebabnya. Jadi sila beri perhatian!
Kamu akan tahu yang kamu mengalami dismenorea primer apabila:
  • Kesakitan telah mula dirasai sejak pertama kali kamu period atau 6 hingga 12 bulan selepas itu.
  • Kesakitan mula dirasai beberapa jam sebelum atau sejurus selepas permulaan period.
  • Dua hari pertama haid adalah paling sakit.
  • Kesakitan mungkin akan hilang 2 atau 3 hari selepas permulaan period.
  • Kesakitan mungkin dirasai di bahagian belakang badan, peha dan kaki.
Jika kesakitan bermula beberapa hari sebelum permulaan period dan berpanjangan selama 3 hari, dan dengan dismenorea kamu juga menyedari beberapa benjolan di dalam abdomen, frequent muntah yang kerap, dan perubahan dalam aliran haid, eloklah berjumpa doktor. Sekiranya kamu aktif dalam aktiviti seks dan mengalami kesakitan semasa melakukan seks, kamu harus mendapatkan pemeriksaan doktor.
 
Adakah saya akan mengalami senggugut selama-lamanya?
Adalah lebih elok sekiranya kamu tahu yang kamu mengalami dismenorea primer atau sekunder. Dismenorea primer terjadi kepada wanita yang ovarinya hanya mengeluarkan sebiji telur setiap bulan. Golongan wanita ini mempunyai kitaran haid yang normal dan akan period setiap bulan. Sesetengah perempuan akan berhenti mengalami dismenorea primer apabila mereka semakin dewasa dan mempunyai anak. Apabila kamu semakin tua dan tubuh kamu berhenti mengeluarkan hormon yang cukup seperti estrogen dan progestrone, kamu tidak akan mengalami period lagi. Ketika ini, dismenorea primer juga akan hilang. Maknanya kamu tidak akan menderita selama-lamanya!

Apabila dikesan yang dismenorea kamu disebabkan jangkitan atau pertumbuhan tidak normal seperti sista atau polips, jadi ia harus dirawat terlebih dahulu oleh doktor. Sebaik sahaja penyebab disemenorea sekunder dirawat, kesakitan mungkin berkurangan atau hilang.
Bolehkah dismenorea dicegah?
Bagi dismenorea primer, doktor akan memberi rawatan seperti pil perancang dan pil penahan sakit. Kamu boleh mengurangkan kesakitan atau kekerapannya dengan hidup secara sihat. Beberapa langkah untuk panduan kamu:
  • Perbaiki diet kamu: Jangan cuba untuk hilangkan berat badan secara drastik. Makan makanan yang mengandungi banyak protein dan tinggi kandungan seratnya. Makan banyak sayur-sayuran, kekacang, ikan salmon, ikan sardin dan parsli.
  • Kurangkan garam.
  • Variasikan pilihan minuman kamu: Banyakkan minum jus buah-buahan. Ia lebih enak dan sihat berbanding aiskrim atau minuman berkarbonat. Elakkan teh, kopi dan minuman beralkohol beberapa hari sebelum period kamu.
  • Ambil Vitamin Tambahan. Ambil Vitamin B dan E. Kamu juga boleh menambah magnesium dan kalsium dalam diet kamu. Beritahu doktor kamu sebelum mengambil sebarang vitamin. Sesetengah vitamin boleh bertindak balas dengan ubat-ubatan kamu yang lain dan mengakibatkan kesan sampingan jika diambil berlebihan.
  • Bagaimana dengan lemak yang berkualiti? Ya! Banyakkan makan salmon dan tuna. Ia mengandungi lemak asid omega 3 yang tinggi dan boleh mengurangkan kesakitan dismenorea.
  • Kekal aktif. Kamu boleh meneruskan aktiviti harian dan kekal cergas semasa kamu didatangi period. Joging dan berjalan bersiar-siar juga membantu. Kamu boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk bersenam. Bersenam telah terbukti dapat mengurangkan kesakitan dismenorea.
  • Berhenti merokok
  • Tenangkan fikiran. Belajar untuk meditasi. Kamu juga boleh mendengar lagu atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dengan menonton filem kelakar. Bergelak ketawa juga dapat menenangkan urat saraf.
Saya menjaga pemakanan dan bersenam tetapi sakit masih tidak hilang. Apa yang perlu saya buat?
Dismenorea boleh menyebabkan kesakitan yang teruk. Ketika ini, mungkin kamu hanya mahu baring sahaja di katil. Kamu mungkin tidak mahu melakukan apa-apa ketika mengalami dismenorea tetapi seeloknya kamu tidak harus membiarkan kesakitan terus menular. Kamu boleh melakukan perkara-perkara di bawah untuk menolong mengurangkan kesakitan:
  • Lakukan sesuatu! Jangan tunggu sampai sakit itu semakin teruk. Ambil pil penahan sakit untuk mengurangkan kesakitan. Kebanyakan pil penahan sakit boleh didapati di kebanyakan kedai dan sangat berkesan. Kamu boleh meminta pertolongan ibu atau kakak untuk membeli pil ini. Ingat antara tanda-tanda dismenorea. Pastikan kamu makan sesuatu sebelum mengambil pil penahan sakit. Jangan pendam kesakitan ketika diserang dismenorea.
  • Tuam perut. Dapatkan tuala dan rendam di dalam air suam. Perah tuala dan letakkan tuala di atas bahagian yang sakit. Lakukan sehingga kesakitan reda.
  • Tarik nafas dalam-dalam. Baring dan tenangkan diri kamu. Jika kamu pening, padam lampu di dalam bilik dan jauhi bunyi bising. Kesakitan akan berkurang selepas kamu mengambil pil penahan sakit.
Perlukah saya ponteng sekolah atau kerja ketika saya mengalami senggugut?
Dismenorea memang menyakitkan. Ia boleh menjadi lebih teruk dan kebanyakan perempuan perlu berehat di rumah dan baring di atas katil untuk sembuh. Ia amat difahami. Apabila kamu rasa tidak sihat, pastikan kamu beritahu cikgu atau sesiapa di pejabat tentang keadaan kamu. Pastikan kamu bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang tertangguh. Ambil pil penahan sakit sebaik sahaja kamu merasa sakit. Sebiji pil sudah mencukupi. Tanya orang yang lebih dewasa atau doktor keluarga untuk menolong kamu. Jika sakit semakin berterusan dan menjadi lebih teruk walaupun kamu sudah mengambil pil penahan sakit, mintalah pertolongan orang lain untuk mendapatkan khidmat doktor.

PERIOD

Apa maknanya apabila saya mempunyai haid yang tidak tetap?
Haid yang tidak tetap bermaksud yang kamu tidak didatangi haid setiap bulan. Ia mungkin ada pada bulan ini dan tiada pada bulan berikutnya atau ia mungkin datang secara jarang-jarang dari masa ke semasa. Kitaran yang tidak tetap ini biasanya dalam istilah perubatan dikenali sebagai metroragia. Kamu sebenarnya mengalami haid di antara tarikh yang kamu dijangka untuk haid. Ia mungkin disebabkan oleh:
Apa maknanya sekiranya haid saya terlalu sedikit dan terlalu jarang berlaku?
Apabila kamu mengalami aliran haid yang sedikit yang berlaku setiap 35 hari atau lebih, dan kamu mungkin mendapat oligomenorea. Ia mungkin disebabkan oleh:
  • Hormon lelaki berlebihan dalam tubuh yang disebabkan oleh sindrom ovari polisista
  • Tiada telur yang dibebaskan oleh ovari (tiada ovulasi)
  • Tekanan emosi
  • Pemakanan yang kurang disebabkan diet keterlaluan
  • Aktiviti fizikal yang terlalu keras

Apa maknanya jika haid saya datang terlalu kerap?
Sekiranya kamu didatangi haid setiap dua atau tiga minggu, kamu mungkin mengalami
polimenorea. Pendarahan haid ini berlaku kurang dari selang 3 minggu. Ia mungkin di alami
semasa dua tahun pertama selepas period kali pertama. Ia juga mungkin disebabkan oleh:
  • Tiada ovulasi
  • Ketidakseimbangan hormon
  • Tekanan emosi
  • Pemakanan tak seimbang
  • Aktiviti fizikal yang terlalu banyak

Apa maknanya jika haid saya datang setiap bulan tetapi dengan aliran yang terlalu
banyak?
Kamu mempunyai kitaran haid yang tetap tetapi terdapat faktor lain yang menyebabkan aliran kamu menjadi banyak. Pendarahan banyak ketika haid dipanggil menoragia. Ia biasanya berlaku apabila aliran darah semasa haid lebih dari 5 sudu besar atau 80 ml. Ia mungkin disebabkan oleh:
  • Ketumbuhan seperti polips atau sista pada uterus
  • Tiada ovulasi berlaku untuk satu jangka waktu lama

Kehilangan darah dan kekurangan zat besi

Kamu akan kehilangan darah yang sedikit semasa period. Ia biasanya antara 2 sudu kecil hinggalah 5 sudu besar darah. Kadang-kadang ia mungkin nampak banyak terutamanya bila kamu nampak kesan darah yang besar pada tampon atau tuala wanita. Jangan risau. Ia memerlukan lebih daripada kehilangan 5 sudu besar darah untuk kamu mendapat simptom yang bakal memerlukan pemeriksaan doktor.


Jangan Panik Bila
  • Terdapat banyak tompokan darah pada tampon atau tuala wanita kamu. Setitik kecil darah akan diserap oleh tampon atau pad kamu yang diperbuat daripada kapas. Apabila ia terjadi, tompokan kecil pun boleh nampak banyak. Jangan kelur kerana tuala wanita atau tampon yang telah penuh diserap perlu ditukar setiap 3 jam. Aliran period kamu akan meningkat dalam tempoh dua hari pertama. Jadi, aliran pasti akan berkurang pada hari ke-4 atau ke-5.
  • Terdapat darah berketul pada darah period. Ketulan itu sebenarnya merupakan lapisan uterus yang digugurkan semasa period. Ia mungkin kelihatan seperti gumpalan darah kerana ia dilitupi oleh darah. Jika kamu lihat dengan dekat, ia sebenarnya tisu yang bertekstur seperti lapisan getah nipis.
Kehilangan Darah Sebenar
  • Kamu mempunyai aliran period melampau untuk lebih dari 3-4 hari. Tampon dan tuala wanita kamu penuh terserap setiap jam dan perlu kerap ditukar. Jika ia berkekalan untuk 3 hari atau lebih, lekaslah berjumpa doktor. Jika kamu kelihatan pucat atau mula rasa nak pengsan, tak perlu tunggu sehingga 3 hari. Jumpalah doktor kamu secepat yang mungkin.
  • Darah yang mungkin bukan period. Periksa tempat pendarahan lain. Masalah dengan pundi kencing dan pembuangan air besar mungkin merupakan penyebabnya. Doktor kamu mungkin boleh memeriksa dengan melakukan ujia memeriksa darah ke atas air kencing dan najis kamu.
Anemia Kekurangan Zat Besi dan Kitaran Haid
Selain daripada kehilangan sejumlah kecil darah semasa period, ada juga perkara lain yang mungkin kamu hilang pada masa ini. Ia merupakan satu unsur dipanggil ZAT BESI. Apabila darah dipecahkan oleh tubuh kamu, zat besi yang terdapat dalam darah kamu akan dikitar semula. Sebab itu, apabila kamu kehilangan darah, kamu juga akan akan kehilangan zat besi. Zat besi penting untuk memastikan darah kamu berwarna merah serta mengekalkan fungsi lain dalam tubuh kamu. Dengan tahap zat besi yang bagus dalam darah, kapasiti darah kamu untuk membawa oksigen dan nutrien lain ke bahagian lain dalam tubuh kamu berada dalam keadaan yang bagus. Kekurangan zat besi disebabkan oleh diet yang tidak sempurna, kehamilan dan kitaran haid yang banyak akan menyebabkan Anemia Kekurangan Zat Besi.
Fakta Ringkas mengenai Zat Besi dan Period Kamu
  • Kamu kehilangan 15-20 mg zat besi semasa period bulanan kamu.
  • Wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak memerlukan lebih banyak zat besi setiap hari
  • Makanan yang kaya dengan zat besi termasuklah daging merah, epal, pisang, terung dan sayur-sayuran berdaun
  • Semasa kamu period, kamu mungkin memerlukan diet tambahan yang kaya dengan zat besi serta tablet zat besi. Ini mungkin berlaku terutamanya apabila kamu tidak memakan daging merah.

Cerita Budak Lelaki

Kenapa budak lelaki tiba-tiba meninggi?

Budak lelaki mula meninggi beberapa tahun selepas budak perempuan. Mereka boleh meninggi dengan mendadak sekitar umur 12 atau 13 setiap tahun. Ia mula memuncak semasa umur 14 apabila budak lelaki boleh membesar sehingga 4 inci setiap tahun! Pada masa ini, kamu mula terpaksa mendongak hanya untuk bercakap dengan mereka. Mereka juga mungkin akan tampak lebih kacak. Lengan dan kaki mereka akan menjadi lebih panjang, dan bolehlah mereka bermain bola keranjang dengan mudah. Sama seperti gadis muda, tahap tinggi hormon pertumbuhan dan sedikit estrogen yang bertanggungjawab untuk pertumbuhan mendadak ini. Iya, budak lelaki pun ada estrogen juga. Tapi mereka mempunyai lebih testosteron yang membuatkan mereka lebih keras dan agresif. Masa ini, mereka mudah bergaduh dan sukakan sukan lasak.
Apa yang membuatkan suara adik lelaki saya berubah?
Kamu mungkin menggelakkan kawan lelaki kamu yang suaranya halus dan kecil bila kamu berumur 9 atau 10 tahun. Namun ketahuilah yang ia tidak akan kekal lama dan tanpa kamu sedari, kamu mungkin tidak dapat mengecam suaranya lagi. Peti suara atau larinks yang terdapat di tekak kita, membuka paru-paru kita dan dilapisi oleh dua struktur nipis dalam pembukaannya yang bertindak seperti langsir. Struktur ini merupakan pita suara dan ia bergerak ke depan dan ke belakang apabila kamu bercakap dan menyanyi. Minta adik lelaki kamu untuk panjangkan lehernya apabila dia mendongak ke atas. Bengkak pada pertengahan lehernya ialah sesuatu yang dipanggil halkum yang merupakan bahagian hadapan peti suara atau larinks. Apabila budak lelaki membesar kira-kira umur 13 atau 14, testosteron membuatkan pita suara menjadi lebih tebal dan besar. Ia juga membuatkan peti suara menjadi semakin panjang dan menyebabkan bengkak ini lebih kelihatan. Pita suara yang tebal bergerak perlahan dan apabila ini terjadi, suara menjadi lebih garau.


Apa itu testosteron?
Testosteron
merupakan hormon lelaki yang dibebaskan oleh organ seks lelaki yang dipanggil testis. Testosteron mula meningkat semasa baligh apabila hormon perangsang merangsang testis untuk mula menghasilkan testosteron. Testosteron membuatkan penis seorang budak lelaki menjadi besar. Ia juga menyebabkan skrotum bertukar rupa membuatkan ia lebih berkedut dengan warna yang lebih gelap. Apabila testosteron memuncak, testis semakin besar dan mula menghasilkan sperma. Masa inilah budak lelaki mula berminat dengan perempuan dan seks. Mereka mula mempunyai geng mereka sendiri dan kurang bergaul dengan perempuan. Mereka kelihatan lebih aktif dan agak ganas. Mereka juga mula melibatkan diri dengan sukan seperti bola sepak ataupun gusti dan menyukainya!

Apakah bahagian organ seks lelaki?
Yang paling popular tentulah penis dan bentuk panjangnya yang melekat pada tubuh lelaki. Ia membesar dalam kepanjangan dan saiz apabila testosteron meningkat ketika baligh. Penis merupakan tempat di mana sperma keluar ketika seks. Ia merupakan organ seks lelaki yang bersentuhan dengan vagina ketika seks.


Skrotum merupakan pundi berwarna gelap atau kemerah-merahan yang terletak di bawah penis lelaki. Skrotum mengandungi testis atau apa yang mereka selalu panggil sebagai “telur”. Skrotum tergantung di luar tubuh untuk membuatkan testis sejuk. Suhu yang sejuk adalah penting untuk memastikan kualiti sperma yang dihasilkan oleh testis adalah bagus.

Testis merupakan struktur bulat dan teguh yang dijumpai di dalam skrotum. Ia menghasilkan sperma dan hormon seks seperti testosteron dalam budak lelaki dan lelaki dewasa.

Apa itu mimpi basah?
Apabila budak lelaki mula mencapai kematangan seksual, mereka mula mendapat mimpi basah. Mimpi basah sebenarnya mimpi yang terdapat tindak balas ejakulasi apabila cecair jernih berjeli air main terpancut daripada penis. Ia biasanya berlaku semasa tidur. Dan biasanya mereka juga tidak tahu yang ia telah berlaku, sehinggalah mereka terjaga dari tidur. Mendapat mimpi basah merupakan satu tanda yang budak lelaki itu makin dekat melangkah ke alam dewasa secara fizikal.


Ejakulasi
Semasa ejakulasi, saraf menghantar signal kepada testis untuk mula membebaskan sperma di luar badan. Semasa tahap awal ejakulasi, sperma bercampur dengan cecair daripada kelenjar prostat dan seminal vesikel. Struktur ini biasanya dijumpai hanya pada lelaki. Kelenjar prostat yang berbentuk buah berangan ini terletak berdekatan pundi kencing. Seminal vesikel pula merupakan tiub senget yang terletak di belakang pundi kencing. Cecair daripada kelenjar prostat dan seminal vesikel memberikan perlindungan dan zat terhadap sperma sebaik sahaja ia dipancutkan keluar. Cecair ini juga mengandungi protein istimewa dan vitamin untuk menyediakan sperma terhadap dunia luar yang akan dijumpainya sebaik sahaja ia dibebaskan ke dalam vagina.


Ereksi
Ia terjadi apabila penis menjadi keras dan tegang. Apabila seorang lelaki menjadi ghairah, otak menghantar signal ke saraf-saraf dalam tubuhnya dan menyebabkan berlakunya ereksi. Aliran darah semakin meningkat di penis dan ia menyebabkan otot-otot penis mengembang membuatkan penis semakin besar dan panjang. Ereksi tidak hanya berlaku apabila seorang lelaki itu ghairah. Pundi kencing yang penuh dan emosi yang memuncak juga boleh menyebabkan ereksi.


Semen
Semen ataupun air mani merupakan cecair putih yang keluar daripada penis semasa pancutan. Ia mengandungi sperma dan cecair yang keluar dari kelenjar prostat dan vesikal semen. Apabila seorang budak lelaki mula mengeluarkan air mani semasa baligh, semen mereka tidak semestinya mengandungi sperma lagi. Sekiranya ada, bilangan sperma mungkin terlalu sedikit dan mungkin juga belum cukup sihat. Semen juga mungkin kelihatan seperti jeli dan lutsinar atau jernih. Selepas dua tahun dari pancutan pertama, semen mungkin mengandungi lebih banyak sperma yang sihat untuk membuatkan seorang wanita itu hamil.


Sperma
Gadis muda membebaskan telur dalam tubuh mereka sementara budak lelaki pula menghasilkan sperma. Sementara wanita hanya mengeluarkan satu telur pada satu masa, lelaki muda membebaskan berjuta-juta sperma setiap kali mereka mengeluarkan air mani! Tapi hanya satu sperma sahaja yang akan berjaya bergabung dengan telur. Kamu perlukan peralatan seperti mikroskop untuk melihat sperma. Ini kerana ia tersangatlah halus dan kelihatan seperti berudu dengan kepala bulat dan ekornya. Ekornya bergerak pantas dari kiri ke kanan membuatkan ia kelihatan seperti berudu yang sedang berenang-renang.

Payudara

Buatkan payudara kamu kelihatan cantik!
Siapa yang mahu payudara besar? Payudara kamu dijadikan sesuai dengan tubuh kamu. Jadi jagalah ia sebaiknya dan pastikan ia tegang. Mantapkan payudara kamu dengan beberapa senaman ringkas:
 
Tekan tubi
Buat tekan tubi kamu dari lengan hingga ke lutut. Mula dengan bilangan 8 ke 12 setiap hari. Kamu boleh ulanginya sebanyak 2 hingga 3 kali. Rehat selama 15 saat di antara setiap kiraan.
 
Angkat berat
Ambil dumbel yang dah lama ditinggalkan tu. Sekiranya ini kali pertama kamu menggunakannya, mula dengan berat 2 atau 3 paun. Jangan terus menggunakan yang berat. Kamu boleh menambah berat badan kamu selepas melakukan senaman ini untuk satu masa.
Baring di lantai dengan memegang dumbel. Angkat tangan kamu secara menegak dari bahu dan angkat berat tersebut. Lihat pada siling. Balik semula ke posisi awal dan lakukannya dalam kiraan 12. Ulangi set ini 2 atau 3 kali sehari. Sekiranya kamu tak ada dumbel, isi botol plastik dengan 500ml air dan gunakannya. Kenalah kreatif sikit!

Pemeriksaan Payudara Sendiri (SBE)
Apabila kamu berumur 20 tahun, kamu mungkin mula menyedari terdapatnya perubahan atau ketulan pada payudara. Tak semua ketulan itu merupakan kanser payudara tetapi langkah terbaik adalah dengan mengenali payu dara kamu melalui Pemeriksaan Payu Dara Sendiri (Self Breast Examination atau SBE). Lakukan SBE seminggu sekali atau selepas period. Kamu boleh melakukannya dengan baring atau semasa mandi. Relakskan diri kamu ketika melakukannya. Kamu juga boleh melakukannya sekerap yang mungkin terutamanya sekiranya kamu mempunyai ahli keluarga dengan sejarah kanser payudara.
  • Guna tiga jari tengah dan tekan perlahan payudara secara membulat bermula pada puting kamu dan menghala ke luar. Tambah tekanan kamu untuk merasa sebarang ketulan atau sakit. Kamu juga boleh melakukannya secara ke atas dan ke bawah. Pastikan kamu telah memeriksa seluruh bahagian payu ara.
  • Dengan tiga jari tengah kamu juga, rasa bahagian berdekatan tulang selangka dan tulang dada. Ulangi pemeriksaan ini pada payudara sebelah. Cuba rasa ketiak kamu dan perhatikan sebarang ketulan atau benjolan pada bahagian tersebut.
  • Dengan ibu jari dan jari tengah, picit puting kamu dan perhatikan sebarang perubahan pada warna kulit atau lelehan.
Dengan mempelajari bagaimana untuk memeriksa payudara, kamu mula lebih bertanggungjawab terhadap tubuh kamu. Jika terdapat sebarang perubahan pada payudara kamu, jangan lekas panik. Pergilah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan.

Soal Jawab Payudara

Kenapa payudara terasa sakit atau lebih sensitif apabila period semakin dekat?
Walaupun ia menyebabkan kamu tak selesa, kamu tak perlu risau mengenainya. Kamu akan rasa yang payudara kamu agak keras dan penuh sebelum period. Ketika inilah, sentuhan yang lembut pun akan membuatkan kamu mengaduh kesakitan. Kesakitan ini disebabkan tisu payu dara bengkak kerana tahap kandungan estrogen yang tinggi dalam tubuh. Tuamkan dengan tuala suam dan biarkan ia di situ sehinggalah sakit berkurangan. Kurangkan meminum air kerana pada masa ini tubuh kamu menyimpan air apabila tahap estrogen tinggi. Lebihan air akan membuatkan payudara kamu terasa penuh. Kalau terlalu sakit, kamu mungkin boleh mengambil pil tahan sakit. Gerakkan tangan kamu dan lakukan senaman tekan tubi untuk mengekalkan aliran darah yang lancar di kawasan tersebut.

Bolehkah saya besarkan payudara?
Berdiri di depan cermin dan kamu mungkin akan nampak yang kedua-dua payudara kamu tak sama. Satu payudara mungkin akan lebih besar dari yang satu lagi. Puting kamu juga mungkin berbeza. Jangan risau, sebab ini adalah normal. Ingat perbezaan ini dan periksa payudara kamu dari masa ke semasa. Perhatikan sebarang perubahan.
Memang tak ada payudara yang bersaiz atau berbentuk sempurna. Selepas baligh, saiz payudara kamu mungkin berubah bergantung kepada berat badan yang berkurangan atau bertambah. Semasa kehamilan, payudara kamu akan mula menghasilkan susu dan akan menjadi besar. Senaman akan memperbaiki rupa payudara kamu dengan meningkatkan saiz otot yang terletak di bawahnya. Sesetengah wanita mungkin melakukan pembedahan untuk membuatkan payudara mereka lebih besar. Semakin kamu dewasa, kamu mungkin berpendapat yang payudara besar membuatkan kamu lebih cantik atau rasa puas. Ini mungkin betul tetapi berperawakan menarik sebenarnya jauh lebih hebat apabila kamu dan orang sekeliling kamu menerima tubuh kamu seadanya.

http://www.kotex.com.my/body-and-you-kesihatan/tubuh-wanita/perubahan-payudara.aspx
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...